SHAH ALAM 22 Ogos – Kira-kira 150 kanak-kanak berumur antara lima hingga 6 tahun menyertai program Generasi Muda XCAMP bagi mendidik mereka tentang penjagaan alam sekitar.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program tersebut diadakan di Taman Tasik Lembah Bukit SUK, Seksyen 5 di sini, baru-baru ini.
“Program ini diadakan bertujuan mendidik kanak-kanak menghargai alam sekitar dan mengamalkan serta membudayakan amalan 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula) dari peringkat usia awal dalam menguruskan sisa,” katanya di sini.
Menurutnya, menerusi penganjuran program berkenaan, pihaknya berharap dapat memupuk amalan kitar semula dan rasa menghargai alam sekitar seterusnya secara tidak langsung menjadi budaya dalam kehidupan mereka.
“Konsep yang diketengahkan sepanjang program adalah berseronok dengan melakukan kitar semula dan pelihara alam sekitar.
“Para peserta didedahkan dengan kaedah kitar semula dan pengurusan sisa yang betul melalui aktiviti kreatif dan menyeronokkan,” ujarnya.
Aktiviti paling menarik ialah Explore Race yang memberi peluang kepada para peserta berkomunikasi secara berkesan di samping memupuk jati diri dan sikap cintakan alam sekitar.
Majlis penutup kem berkenaan disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, Mohd. Azmi Amer Khan. – UTUSAN ONLINE











