PUTRAJAYA – Sebanyak 14 premis perniagaan didapati melakukan kegiatan mencuri elektrik mengakibatkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengalami kerugian kira-kira RM2 juta.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan hari ini berkata, melalui operasi bersepadu dijalankan di sekitar Semenyih, Selangor baru-baru ini, mendapati taktik mencuri elektrik hampir sama digunakan di premis yang pernah diserbu sebelum ini.
Katanya, kegiatan mencuri elektrik itu dilakukan dengan membuat sambungan terus daripada bekalan milik TNB ke beban pengguna.
ST berkata, melalui operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), TNB dan polis bantuan TNB juga mendapati terdapat beberapa premis mengubah suai pemasangan meter TNB.
“ST sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas pemilik akaun TNB serta pemilik premis yang berkenaan sebelum mengambil tindakan mahkamah,” katanya. – Bernama











