110 pelajar hasilkan Jalur Gemilang sepanjang 52 meter - Utusan Malaysia

110 pelajar hasilkan Jalur Gemilang sepanjang 52 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh di sini mencatat sejarah tersendiri selepas berjaya menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 52 meter yang dihasilkan oleh seramai 110 pelajar sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61 pada tahun ini.

Pengetuanya, Mohd. Tahir Sastro berkata, bendera yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar tingkatan empat sekolah tersebut mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan sebelum ia dikibarkan secara rasmi hari ini.

Jelasnya, idea untuk menghasilkan Jalur Gemilang yang dianggarkan sepanjang separuh padang bola sekolah itu tercetus apabila beliau mahu pihak guru dan pelajar terlibat bersama-sama dalam aktiviti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aktiviti ini penting di peringkat sekolah dalam usaha untuk memupuk pelajar-pelajar agar dapat menzahirkan rasa kecintaan mereka terhadap negara dengan penghasilan bendera panjang itu.

“Sepanjang bendera ini dihasilkan, pelajar dan guru menunjukkan komitmen yang baik malah ia juga dapat membuktikan bahawa aktiviti ini perlu dilakukan secara beramai-ramai untuk memperoleh hasil yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Kampong Pasir Puteh di sini hari ini.

Menurut Mohd. Tahir, bendera tersebut akan digantung di Arena Bestari yang merupakan dewan sekolah itu sehingga 16 September depan sempena sambutan bulan kebangsaan. 

Tambahnya, penghasilan bendera itu merupakan salah satu acara sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah 2018 selain aktiviti deklemasi sajak, melukis poster, menulis esei, pertandingan kelas patriotrik, video semangat kemerdekaan dan buku skrap.

Dalam pada itu, guru penyelaras dalam aktiviti itu, Asmawi Nasir berkata, pelajar-pelajar tingkatan empat yang terlibat membuat bendera itu pada sewaktu pembelajaran subjek pendidikan seni.

Jelasnya, cabaran ketika menghasilkan bendera itu adalah sewaktu membuat garisan lurus untuk membentuk 14 garis pada Jalur Gemilang.

“Pelajar-pelajar perlu menggunakan ukuran yang betul dengan pembaris pada kain rentang dan sekiranya tersasar, ia akan memberi kesan yang kurang menarik pada garisan bendera itu.

“Kos keseluruhan untuk menghasilkan bendera ini dianggarkan sebanyak RM400 dan wang tersebut merupakan hasil sumbangan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kelab guru,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN