KUDAT – Seramai 11 individu warganegara Filipina termasuk dua kanak-kanak ditahan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kudat kerana dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini secara haram melalui perairan Kudat di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10 malam tersebut, kesemua suspek berusia antara dua hingga 54 tahun yang menaiki sebuah bot pam ditahan di kedudukan 1.4 batu nautika dari Tanjung Inaruntung, Pitas dekat sini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim, Boon Chin Chau berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit terdiri daripada enam lelaki dan lima perempuan termasuk dua kanak-kanak.
“Semasa ditahan dalam Op Pluto kesemua suspek dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Kagayan, Filipina menuju ke Sabah melalui perairan Kudat.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati bot pam tersebut tidak berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek ditahan manakala bot pam digunakan dirampas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. – K! ONLINE










