100 hari tidak cukup untuk PH - Utusan Malaysia

100 hari tidak cukup untuk PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Manifesto 100 hari Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin tercapai dalam tempoh yang ditetapkan memandangkan banyak dasar dan tadbir urus yang perlu dinilai semula.

Mohd. Munir Abdul Majid
Mohd. Munir Abdul Majid

Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (CARI), Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid berkata, tempoh tersebut amat pendek apatah lagi ia melibatkan perubahan kerajaan yang memerintah selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Katanya, apabila kerajaan bertukar mereka perlu membiasakan diri dengan tadbir urus dan membuat banyak semakan terhadap pentadbiran terdahulu sekali gus menjadikan keadaan sangat rumit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disebabkan situasi ini, ia me­ngakibatkan perkembangan menjadi lambat dan sukar berbanding 100 hari. Saya tidak pernah terfikir idea untuk menunaikan manifesto dalam 100 hari adalah sesuatu yang bagus untuk dilaksanakan sejak dari awal lagi.

“Idea 100 hari ini sebenarnya diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-32, Franklin D. Roosevelt apabila dilantik ke jawatan tersebut pada 4 Mac 1933 yang memerlukan beliau membuat kerja dengan begitu pantas.

“Sebenarnya inilah sema­ngat yang saya bayangkan patut ada dalam PH. Tetapi di sini, kita mempunyai banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Di AS, 100 hari pertama itu dibuat bagi me­ningkatkan ekonomi AS tetapi 100 hari di sini mengambil kira banyak aspek dan pastinya memerlukan masa yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Muamalat Beyond Premier Banking di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berpegang kepada janjinya yang terkandung dalam manifesto PRU-14 dan komited untuk merealisasikannya dengan tumpuan bukan sekadar melaksanakan janji-janji berkenaan malah usaha turut dibuat untuk memperbaiki semula pentadbiran kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN