KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan 10 janji dalam 100 hari pentadbiran mereka membuktikan bahawa segala yang ditawarkan hanyalah untuk memancing undi tanpa mengambil kira aspek realistik.
Perkara itu disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu, hanya dua ke tiga janji mampu dilaksanakan tetapi itu pun masih belum cukup memuaskan hati khususnya dari segi memberi kesejahteraan dan impak kepada kehidupan rakyat.
Mengambil contoh pengurangan cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada enam kepada sifar peratus bermula 1 Jun lalu, Ismail Sabri berkata, kesannya tidak seperti diharapkan apabila harga barang tidak turun sebagaimana dijanjikan.
Kononnya apabila GST sifar dilaksanakan, pihak peniaga akan menurunkan harga sedangkan harga sebelum dan selepas GST adalah sama.
Harga barangan keperluan asas masih mahal dengan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang purata bulanan di bawah RM3,860 masih dibelenggu isu kos sara hidup,katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











