KUALA LUMPUR – Peminat larian dan aktiviti lasak kini berpeluang menikmati keindahan dan keunikan Desaru, Johor dengan cara tersendiri menerusi Xterra Malaysia Special Edition 2018 pada September depan.
Dianjurkan oleh Tough Gorilla, Xterra Malaysia Special Edition menampilkan acara dualthon yang melibatkan larian sejauh 10 kilometer (km) dan berbasikal pada jarak 30 km berlatarbelakangkan pemandangan indah di Desaru Coast.
Bagi mereka yang masih baharu dan menginginkan cabaran yang lebih ‘santai’, acara larian denai pada jarak 5 km, 10 km dan 21 km turut ditawarkan.
Pengarah Urusan Tough Gorilla, Azura Zainol Abidin berkata, acara selama tiga hari bermula 28 hingga 30 September itu menyasarkan penyertaan golongan berusia antara 25 hingga 45 tahun dari seluruh negara selain negara serantau seperti Singapura, Indonesia, China dan Thailand.
“Kami menyasarkan sebanyak 1,200 penyertaan bagi kesemua kategori dan setakat ini, kami telah pun memperolehi kira-kira 600 penyertaan.
“Desaru masih merupakan lokasi yang agak baharu bagi acara seperti ini dan kami berbesar hati untuk memperkenalkan Desaru kepada peminat sukan lasak dan pencinta alam semula jadi,” katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Ketua Pegawai Eksekutif Integrated Theme Parks & Attractions, Philip Whittaker.
Orang ramai yang menginginkan maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook Xterra Malaysia. – K! ONLINE










