Warga Kemboja keluar mengundi - Utusan Malaysia

Warga Kemboja keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH – Rakyat Kemboja keluar mengundi semalam dalam pilihan raya umum yang dijangka melanjutkan pemerintahan 33 tahun Perdana Menteri, Hun Sen selepas satu-satunya parti pembangkang terkuat dibubarkan, menjadikan Kemboja sebagai negara satu parti.

Hun Sen yang berkuasa sejak tahun 1985, menggunakan kekerasan untuk mematahkan penentangan termasuk menekan masyarakat awam, kebebasan media dan menangkap musuh-musuh politiknya.

Barat membatalkan bantuannya untuk pilihan raya itu dengan alasan ia tidak telus, manakala kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang menyifatkannya sebagai ‘pembunuhan demokrasi’.

Sebanyak 19 parti kecil dan kurang dikenali bertanding melawan parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen selepas mahkamah negara itu membubarkan pembangkang utama, Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP).

Walaupun keputusan pilihan raya umum kali ini sudah dijangka, tumpuan diberikan kepada peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai kayu ukur populariti Hun Sen.

CNRP yang mana pemimpinnya sama ada dipenjarakan, melarikan diri atau hidup dalam buangan di luar negara, menggesa rakyat Kemboja memboikot pilihan raya tersebut sebagai satu-satunya kaedah protes selamat.

Bagaimanapun, barisan panjang dilihat di banyak pusat mengundi semalam ketika orang ramai hadir di sekolah dan pagoda untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Saya mengundi kerana saya mahukan kebahagiaan, pembangunan dan keamanan untuk negara ini,” kata Im Chanthan. Pengundi berumur 54 tahun itu membuang undi di pusat mengundi sama yang dikunjungi Hun Sen di wilayah Kandal, pinggir Phnom Penh.

Orang kuat Kemboja itu tersenyum ketika beliau dan isteri, Bun Rany tiba untuk mengundi.

Hun Sen, 65, merupakan bekas komander Khmer Rouge yang berpaling tadah ketika rejim tersebut mula tumbang. Parti CPP memerintah memenangi semua pilihan raya umum di negara itu sejak tahun 1998.

Lebih lapan juta pengundi mendaftar untuk pilihan raya umum Kemboja kali ini, pilihan raya keenam sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pertama kali menaja proses demokrasi tersebut pada tahun 1993.

Dalam pada itu, seorang jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan menyatakan dua jam sebelum pusat mengundi ditutup bahawa bilangan peratusan keluar mengundi adalah lebih 70 peratus, mengatasi 69 peratus pada pilihan raya 2013. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN