SUBANG JAYA – Seorang wanita warga emas bertindak membakar dirinya bagi membunuh diri dalam satu kejadian di Jalan SS 19/6A di sini malam tadi.
Menurut Jurucakap Bomba, anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.24 malam memaklumkan seorang wanita terbakar di seluruh badannya.
Seramai 12 anggota beserta sebuah jentera dan dua kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS).
“Mangsa yang berusia 70 tahun itu menggunakan petrol untuk melumuri tubuhnya sebelum mencucuh dengan sumber api berkenaan untuk membakar tubuhnya.
“Jirannya yang mendengar jeritannya bergegas masuk ke rumahnya dan berjaya memadamkan api serta menyelimutkan mangsa sebelum pihak bomba sampai ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, ketika sampai ke lokasi, anggota ERMS yang membuat pemeriksaan awal kepada tubuhnya mendapati beliau terbakar di seluruh anggota tubuhnya.
“Anggota ERMS telah memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam bagi menerima rawatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE










