KUALA LUMPUR 3 Julai – Seorang pesakit wanita warga emas maut selepas ambulans yang membawanya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 petang itu, Fatimah Mohd. Arzbon, 67, meninggal dunia di tempat kejadian
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita warga Yemen, Wehad Salah Abdul Fattah, 30.
“Siasatan awal mendapati pemandu wanita itu telah mengubah haluan ke lorong tengah menyebabkan ambulans tersebut merempuh bahagian belakang kereta dipandunya.
“Rempuhan itu juga mengakibatkan Perodua Myvi itu terbabas dan melanggar tembok batu jalan sebelum berpusing,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Zulkefly, selain mangsa yang maut, terdapat lima mangsa berada di dalam ambulans termasuk pemandu.
Jelasnya, suami wanita yang maut, Mohd. Norain Taadin cedera di kepala dan tangan kiri manakala pemandu ambulan, Jasin Taharin (cedera di bahagian kepala).
Ujarnya, staf ambulans, Noorhadaina Mansura Abdullah mengalami leher retak dan kesemua mereka kini dirawat di zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Dua lagi penumpang ambulans ialah jururawat, Ahmad Naim Hassim (cedera di tangan) dan anak Fatimah, Zaihan Omar yang cedera ringan kini dirawat di zon kuning HKL.
“Pemandu Perodua Myvi pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE










