KOTA BHARU 19 Julai – Wakil rakyat terutama yang baru menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu diberi kursus kenegaraan dengan segera agar tidak lagi membuat kenyataan dan tindakan gopoh-gapah yang mengejutkan masyarakat.
Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A. Aziz Deraman berkata, perkara itu sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi selepas setiap pilihan raya supaya wakil rakyat memahami keseluruhan sistem dan struktur dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.
Beliau berkata, keperluan kursus sedemikian semakin penting kini berikutan perubahan kerajaan bagi mengelak isu kontroversi berterusan seperti pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mahupun insiden penyediaan juadah babi kepada orang Islam dalam majlis rasmi.
“Maksud kenegaraan itu adalah sebelum sesuatu keputusan dasar baharu dibuat ataupun perubahan kepada dasar-dasar lama biarlah wakil rakyat tahu bukan sahaja tentang sejarah negara tetapi perkara lain yang boleh dijadikan modul.
“Misalnya Perlembagaan Negara, Rukun Negara, Dasar Ekonomi, Rancangan Pembangunan Malaysia, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan dan lain-lain dasar utama.
“Begitu juga dasar yang dilaksanakan pada zaman pemerintahan dahulu termasuk semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat seperti Dasar Pandang Ke Timur, konsep persyarikatan Malaysia dan Wawasan 2020 serta termasuklah juga Islam Hadhari dan konsep 1Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Bicara Sejarah dan Sastera Kelantan 2018 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, di sini hari ini.
Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan DBP Wilayah Timur itu telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail. – UTUSAN ONLINE










