KUALA LUMPUR 6 Julai – Penyerang berpengalaman, Amri Yahyah yang bakal beraksi buat kali kelima dalam final Piala FA berazam untuk mengulangi detik 2009 apabila dia membantu Selangor muncul juara dan dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.
Biarpun percaya, tumpuan kali ini lebih terarah kepada pemain muda berbanding dirinya, namun Amri yang lebih dikenali sebagai ‘Wak Am’ sedia menggunakan pengalaman untuk membantu Red Giants menewaskan Pahang dalam final di Stadium Nasional, Buki Jalil esok.
“Kami bermain sebagai satu pasukan dan berharap dapat ulangi kejayaan 2009.
“Bukan saya yang patut diberi tumpuan dalam perlawanan ini, sebaliknya fokus adalah kepada pemain muda. Di Selangor, semua pemain boleh menyerang, saya cuma bagi sokongan,” katanya lagi.
Amri, 37, menjulang trofi Piala FA bersama Selangor pada 2001, 2005 dan 2009 sebelum memenangi kejuaraan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dua tahun lalu.
Bekas penyerang JDT itu juga menegaskan, dia tidak berminat mengejar pencapaian peribadi sehingga mengetepikan fokus utama.
“Secara spesifik, saya tidak mempunyai sasaran peribadi kerana apa yang penting adalah kemenangan pasukan.
“Berdasarkan kenangan manis merangkul trofi di stadium ini, sudah tentu ia akan menjadi motivasi bukan sahaja kepada saya malah buat pemain lain dalam pasukan juga,” katanya.
Selangor juga menerima suntikan motivasi tambahan hari ini apabila latihan mereka di Stadium Nasional dikunjungan Raja Muda, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Saya harap pemain menunjukkan semangat dan mentaliti juara dalam pertembungan final menentang Pahang esok. Saya percaya dan yakin pemain Selangor dapat memenangi Piala FA esok,” kata Tengku Amir.
Sementara itu, kapten Tok Gajah, Matthew Davies berkata, dia tidak rela kecewa sekali lagi.
“Memang saya kecewa dengan aksi final tahun lalu. Kami berdepan laluan sukar untuk ke final kali ini dan jika kami tidak menang saya fikir kami akan kecewa besar,” katanya.









