[VIDEO] Zahid harap SPRM rungkai persepsi dana RM2.6 bilion - Utusan Malaysia

[VIDEO] Zahid harap SPRM rungkai persepsi dana RM2.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat merungkai persepsi berhubung dana RM2.6 bilion dengan segera.


Video oleh HAKIMI ISMAIL

Menurut Ahmad Zahid, kete­rangannya kepada SPRM hari ini berhubung dana yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak diharap dapat digunakan untuk merungkai perkara yang menjadi persepsi negatif sejak sekian lama itu.

“Saya amat yakin bahawa isu berkaitan dengan soal yang selama ini menjadi persepsi kepada rakyat dapat dirungkai SPRM dalam waktu terdekat,” katanya kepada selepas memberi ketera­ngan kepada SPRM, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid hari ini memberi keterangan lebih lapan jam kepada SPRM berhu­bung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, siasatan hari ini melibatkan kes 1MDB sahaja iaitu membabitkan kenyataan yang dikeluarkan pada 2015 berhubung pertemuannya bersama wakil keluarga Raja Arab Saudi.

“Saya memberi keterangan kepada SPRM bermula pukul 10 pagi. Pada hemat saya, siasatan mengenai 1MDB ini selesai dan saya kembali esok untuk memberi ketera­ngan berhubung yayasan pula.

“Proses mengambil ketera­ngan hari ini melibatkan kes 1MDB sahaja iaitu mengenai kenyataan yang dibuat pada 2015 selepas saya berjumpa wakil keluarga Raja Arab Saudi,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid hadir ke Ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 9.52 pagi dan keluar pada pukul 6.30 petang selepas selesai memberi keterangan kepada suruhanjaya itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kera­na memberi ruang dan peluang kepadanya untuk membuat penjelasan mengenai perkara yang menjadi persepsi kepada rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana cukup profesional dan berikan ruang secukupnya untuk saya berikan penjelasan,” katanya.

Ditanya mengapa pada 2015 beliau mengatakan SPRM tidak mengesan sebarang salah laku berhubung pemberian dana itu, Ahmad Zahid menegaskan, kete­rangan yang diberikan hari ini lebih kepada perincian perjumpa­annya dengan wakil kerajaan itu.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan Ahmad Zahid dikehendaki hadir memberi keterangan berhubung dua kes yang disiasat suruhanjaya itu termasuk kes 1MDB.

Satu lagi kes ialah melibatkan siasatan pembayaran kad kredit milik Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis yang menggunakan wang yayasan yang diterajui Presiden UMNO dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Semalam, Ahmad Zahid dalam sidang akhbar pertamanya selaku Presiden UMNO memaklumkan beliau bersedia memberi kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN