KOTA BHARU 19 Julai – Sejarah Kelantan ‘cacat’ malah tidak mempunyai sumber rujukan agung biarpun negeri ini adalah negeri tua yang sudah wujud lebih 500 tahun.
Panel Penyelidik dan Penerbitan Kajian Adat Istiadat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Mohamad Mahmud berkata, penulisan sejarah negeri ini dalam karya-karya lama tidak ada kesinambungan antara bab, mempunyai kecacatan tarikh dan pengkisahan yang hanya berpihak kepada yang menang.
Mohamad yang juga penerima Anugerah Tokoh Hiratul Rasul 1435H peringkat negeri dan lebih dikenali dengan nama pena, Abdul Razak Mahmud berkata, antara karya lama yang mempunyai kecacatan itu adalah Ringkasan Citra Kelantan, Ringkasan Sejarah Kelantan, Sejarah Kelantan dan Kelantan Dari Zaman Ke Zaman.
“Kita perlu duduk bersama untuk memperbetulkan banyak kesalahan di dalam karya-karya ini.
“Negeri lain tarikh mereka lengkap dan ada sastera sejarah yang agung Hikayat Patani untuk wilayah Patani, Misa Melayu (Perak), Sulalatus Salatin (Melaka), Hikayat Acheh (Acheh) dan Hikayat Merong Mahawangsa (Kedah),” katanya ketika ditemui di majlis Bicara Sejarah dan Sastera Kelantan 2018 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di sini hari ini.
Mohamad berkata, setakat ini Maik telah menerbitkan beberapa karya untuk memperbetulkan catatan sejarah negeri ini seperti Ikhtisar Sejarah Kelantan pada tahun 2015 yang juga merupakan hasil tulisannya sendiri yang telah diulang cetak sebanyak dua kali.
“Begitu juga Kisah-kisah Sejarah Negeri Kelantan tulisan Che Ismail Che Daud dan Kelantan: Sejarah, Adat dan Warisan yang merupakan tulisan bersama Datuk A.Aziz Deraman dan Baharin Ilias,” katanya.
Hampir 200 peserta menghadiri program anjuran bersama Maik dan DBP Wilayah Timur tersebut. – UTUSAN ONLINE










