KUALA LUMPUR 9 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai membuat bayaran bagi baki RM500,000 dan proses dokumentasi ikat jaminnya di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
Beliau yang tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 11.43 pagi ditemani Datin Seri Rosmah Mansor.
Kedatangan Ahli Parlimen Pekan itu disambut kira-kira 80 penyokong yang melaung kata-kata semangat ‘Bebas Najib’, ‘Hidup Najib’ dan bertakbir.
Beliau juga menerima tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Ketua Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii.
Najib dan Rosmah kemudian beredar dari pekarangan kompleks mahkamah kira-kira lima minit kemudian dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna putih.
Rabu lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – UTUSAN ONLINE.










