KOTA BHARU 30 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO negeri ini mendesak agar Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia.
Ketua Pemudanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan beliau mencetuskan api perkauman tidak menggambarkan kredibiliti sebagai seorang menteri di negara ini.
“Jadi, silalah letak jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia kerana tindakan anda jelas menggambarkan bahawasanya anda tidak layak menduduki jawatan itu.
“Walaupun beliau sudah meminta maaf hari ini, tapi kami rasa tidak cukup kerana kita bimbang selepas ini akan berlaku lagi kenyataan serupa oleh pimpinan DAP lain dan mudah sahaja minta maaf selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis bersama kira-kira 50 ahli Pemuda dan Puteri UMNO Kelantan di Balai Polis Kota Bharu, di sini hari ini.
Kula Segaran sebelum ini dilaporkan mendakwa Melayu sebagai bangsa pendatang ketika berucap dalam bahasa Tamil pada satu program di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.
Dakwanya, guru di sekolah telah mengajar anak-anak murid tentang sejarah asal usul orang Hindu yang menetap di negara ini sejak 100 tahun lalu sahaja.
Dalam pada itu, Noor Hariri menggesa Kula Segaran membuat permohonan maaf rasmi secara terbuka dan bukannya melalui kenyataan akhbar sahaja. – UTUSAN ONLINE










