[VIDEO] Histeria serang keluarga mangsa - Utusan Malaysia

[VIDEO] Histeria serang keluarga mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Julai – Histeria yang menyerang 46 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh semalam telah berjangkit kepada keluarga salah seorang mangsa terbabit.

Ibu dan kakak salah seorang mangsa tersebut meraung serta menangis secara tiba-tiba di rumah mereka di Kampung Pasir, di sini malam tadi.

Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Najwa itu berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku apabila kakaknya secara tiba-tiba menangis dan menjerit dengan nada yang sangat kuat.

“Dia juga kelihatan seperti dicekik sesuatu kerana lidahnya nampak seperti terjelir menahan kesakitan.

“Suasana menjadi lebih parah apabila abang ipar saya ingin memangil ustaz. Ketika itu ibu pula meraung dengan suara yang tidak dikenali, ” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Najwa berkata, pada pagi semalam, dia turut terkena histeria apabila secara tiba-tiba menjadi lemah dan tidak bermaya sehingga terpaksa dipapah oleh rakan untuk ke kantin.

“Ketika itu saya merasa sedih sehingga menangis, saya tidak tahu apa sebabnya, malah semasa dipapah saya melihat ada lembaga besar kehitaman berada di atas badan salah seorang pelajar yang sedang menjerit,” katanya.

Sementara itu, ibu Najwa yang dikenali sebagai Fatimah berkata, dia merasa tidak sedap badan sejak awal lagi sebelum kejadian tersebut berlaku dan selepas itu tidak sedarkan diri.

Katanya, sebelum ‘dijangkiti’ histeria, dia melihat anak sulungnya yang sedang mengandung dirasuk serta bercakap dengan mengeluarkan suara lelaki.

“Dia memberitahu dirinya cantik dan ingin menjaga anak yang dikandung itu. Dia juga menari dan ingin lari masuk ke hutan ketika diserang histeria semalam.

“Selepas itu saya juga tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang berlaku sehingga lewat tengah malam baru saya sedar dan melihat ramai orang di sekeliling saya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Online mendapati hampir separuh pelajar itu tidak hadir ke sekolah hari ini.

Bagaimanapun sesi persekolahan berlangsung seperti biasa dan tiada sebarang gangguan sejak pagi tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN