KUALA LUMPUR 2 Julai – Gelagat empat kanak-kanak yang petah berbicara ketika mempromosikan produk jualan mereka di sebuah restoran di Cheras, tular di media sosial baru-baru ini.
![]() |
|
Nur Atikah Shahrudin
|
Video yang dikongsikan Nur Atikah Shahrudin, 25, sejak 22 Jun lalu itu sehingga hari ini mendapat 142,136 tontonan, 7,464 perkongsian serta lebih 6,000 tanda pengguna Facebook menyukainya.
Dia yang juga merupakan pegawai jualan bagi produk Coway mengakui agak tertarik dengan teknik penyampaian kanak-kanak itu lalu mengambil keputusan untuk merekodkannya.
“Waktu itu saya dan rakan-rakan sedang menikmati makan malam di Qbistro, Cheras. Dalam keadaan sedang seronok beborak, kami disapa sekumpulan kanak-kanak kecil yang mahu menjual produk pewangi rumah.
“Apabila salah seorang daripada kanak-kanak itu buka mulut sahaja, ayat-ayat yang mereka guna pakai sangat menarik dan mereka membuatkan kita seperti mahu terus mendengar apa yang ingin mereka sampaikan.
“Namun video yang pada asalnya sekadar diambil untuk dikongsikan kepada kenalan Facebook telah tular dan banyak reaksi yang saya terima mengenainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.
Apa-apa pun, ujar Nur Atikah sebagai orang yang turut sama-sama terlibat dalam bidang perniagaan, keberanian kanak-kanak tersebut yang keluar dari zon selesa dan mengambil jalan untuk berniaga sama seperti orang dewasa wajar dipuji.
“Biarpun kanak-kanak kecil itu sekadar berniaga produk penyembur pewangi rumah namun susah payah mereka dalam menimba ilmu dan pengalaman dari jalanan perlu dipandang tinggi.
“Bukan mudah menjalankan perniagaan berbentuk jualan langsung (direct selling) kerana kita tidak kenal siapa prospek kita malah mungkin sering berpotensi berhadapan dengan penolakan orang ramai,” katanya.
Bagi Nur Atikah, kecekalan kanak-kanak tersebut berniaga perlulah sokong kerana sekiranya bertemu dengan pengalaman serta dorongan yang betul, tidak mustahil kanak-kanak tersebut mampu menjadi orang hebat pada masa hadapan. – UTUSAN ONLINE












