[VIDEO] Dilucut hak harta, saman - Utusan Malaysia

[VIDEO] Dilucut hak harta, saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kesemua pemilik 408 akaun melibatkan jumlah sebanyak RM1.1 bi­lion yang dibekukan kerana dipercayai disalurkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dilucutkan hak harta dan disaman sekiranya gagal memberikan kerjasama terhadap siasatan dijalankan.


Video oleh NAIMAH MOHD.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, matlamat pasukan Petugas Khas 1MDB adalah untuk mendapatkan semula wang daripada 1MDB yang merupakan wang rakyat.

“Kami panggilnya sebagai wang haram, kerana wang ini milik 1MDB dan kalau dimasukkan dalam mana-mana akaun secara salah maka kami akan minta semula.

“Saya seru pemilik akaun (yang dibekukan) supaya datang berbincang dengan SPRM dan kita akan tunjuk dokumentasi bahawa wang ini datang daripada 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku Corruption and Crime in Malaysia: Perception or Reality?’ yang ditulis Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan pasukan Petugas Khas 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion daripada akaun-akaun milik individu, parti politik serta NGO pada 26 dan 29 Jun lalu.

Akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri turut mempertahankan tindakan pembekuan akaun tanpa memberi notis kepada pemilik akaun itu kerana menurutnya akan menjejaskan siasatan SPRM.

“Tidak perlu beri notis, kalau kita beri notis, duit itu akan dibawa lari, jadi tiadalah elemen kejutan dalam siasatan kita,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN