UMNO P. Pinang tolak permohonan maaf Kula Segaran - Utusan Malaysia

UMNO P. Pinang tolak permohonan maaf Kula Segaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 30 Julai – UMNO negeri ini menolak permohonan maaf Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran berhubung kenyataan berbaur perkauman beliau yang mendakwa seolah-olah orang Melayu kaum pendatang di negeri ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Faisal Yahaya berkata, permohonan maaf itu tidak boleh memadamkan kerosakan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia berkenaan khususnya kesan terhadap keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Kula Segaran berhubung kenyataan berbaur perkauman yang dibuat beliau selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita tidak mahu tindakan memohon maaf selepas membuat kenyataan bersifat perkauman sebegini menjadi budaya dalam kalangan masyarakat sedangkan ia telah mencetuskan kemarahan kaum tertentu.

“Sepatutnya sebagai ahli politik malah merupakan seorang Menteri, Kula Segaran berhati-hati dalam membuat kenyataan khususnya dalam isu membabitkan kaum tertentu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Kula Segaran di ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini hari ini.

Selepas dikecam pelbagai pihak, Kula Segaran hari ini akhirnya memohon maaf susulan kontroversi berhubung dakwaan beliau bagi mengelak hal tersebut berlarutan serta menjadi semakin teruk.

“Merujuk kepada kenyataan saya di Nilai minggu lepas yang telah menjadi kontroversi di media. Saya dengan ini  meminta maaf atas salah faham dan menarik balik semula rujukan dalam ucapan tersebut,” katanya Kula Segaran dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN