JOHOR BAHRU 4 Julai – UMNO akan memberi kerjasama terbaik dan mengalu-alukan langkah yang wajar diambil sepanjang pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghormati kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai seorang yang memiliki kepercayaan yang teguh terhadap institusi demokrasi di negara ini, beliau percaya ini adalah peluang terbaik bagi UMNO
untuk menunjukkan kebertanggungjawaban pemimpinnya dan menghapuskan spekulasi-spekulasi negatif yang ada, terutama sekali yang berkenaan dengan kes
SRC International Sdn. Bhd.
“Saya berharap bahawa keadilan akan ditegakkan, sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi demokrasi dan menebus semula maruah UMNO pada pandangan umum rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











