Umar: Musim malapetaka buat TRW - Utusan Malaysia

Umar: Musim malapetaka buat TRW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Jajahan (PBJ) perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi merudum skuad The Red Warriors (TRW) musim ini hingga menyebabkan pasukan itu tersingkir ke Liga Premier musim depan susulan kesilapan memilih peneraju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada kongres badan induk itu tahun lalu.

Setiausaha Agung The Red Warriors City Club (TRWCC), Umar Kamaruddin menegaskan, pemilihan usahawan batik, Bibi Ramjani Ilias Khan untuk mengemudi KAFA telah membawa ‘malapetaka’ cukup besar sehingga mempengaruhi prestasi TRW musim ini.

“Inilah bahananya apabila salah pilih pucuk pimpinan yang dilihat cukup lemah dan tidak mempunyai hala tuju jelas bagi membawa pasukan dalam mengharungi sai­ngan Liga Super 2018.

“Anda boleh lihat ba­gaimana tindakan drastik yang tidak masuk akal dilakukan oleh KAFA sehingga menjual pemain berkualiti dan hasilnya Kelantan terjebak ke Liga Premier,” katanya semalam.

Umar memberitahu, lebih memburukkan lagi keadaan, PBJ mengambil sikap mengunci mulut daripada memberikan sebarang respons ber­kaitan prestasi pasukan sepanjang musim ini.

Katanya, tindakan itu membuatkan kepimpinan KAFA seolah-olah selesa dengan setiap keputusan yang mereka buat tanpa ada sebarang teguran daripada PBJ.

Jelasnya, sebagai penyokong, pihaknya mahu PBJ bangkit dan menebus kesilapan mereka itu de­ngan melakukan sesuatu bagi menyelamatkan pasukan Ke­lantan dan langkah segera perlu dilakukan bagi memastikan jenama TRW tidak hancur di tangan mereka yang tidak berkelayakan.

“Bola sepak adalah jiwa rakyat Kelantan dan sebagai penyokong kita perlu pertahankan. Jadi, saya merayu kepada PBJ untuk bangkit menyelamatkan TRW yang merupakan nadi rakyat Kelantan,” katanya.

Selepas 21 perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan menghuni tangga tercorot Liga Super dengan me­ngumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan 14 kekalahan.

Kemuncak kejatuhan prestasi TRW berlaku apabila Bibi Ramjani membawa masuk bekas pengendali Syria, Fajer Ibrahim untuk mengemudi pasukan dengan memberikannya kuasa penuh.

Fajer menggunakan kuasa tersebut dengan melakukan ‘pembersihan’ apabila menyingkirkan pemain-pemain senior yang masih boleh memberikan sumbangan kepada pasukan.

Antara tonggak senior yang di­singkirkan Fajer ialah Mohd. Nor Farhan Mohamad, Mohd Badhri Radzi, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Khairul Fahmi Che Mat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN