KUALA LUMPUR 4 Julai – Tiada alasan untuk DAP tidak melaksanakan janji parti itu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selepas wakilnya, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
![]() |
|
TEO NIE CHING
|
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon berkata, pelantikan Nie Ching itu sudah tentunya memberi peluang kepada DAP untuk melaksanakan janji-janji yang telah dibuat kepemimpinan parti itu khususnya berkaitan pendidikan masyarakat Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Katanya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan pernah berjanji mengiktiraf UEC di sekolah-sekolah persendirian Cina dalam tempoh 30 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau berkata, Nie Ching pula dalam satu rakaman video pernah berjanji mengiktiraf UEC tanpa syarat sekiranya DAP menjadi Kerajaan Pusat.
“Kini sudah tiba masanya DAP mengotakan janjinya untuk mengiktiraf UEC dalam tempoh 30 hari. Ini adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan yang harus ditunaikan Nie Ching.
“Beliau tidak patut membuat pusingan U atau memberi alasan untuk tidak melaksanakan janji-janji yang dibuat DAP. Masyarakat Cina akan memantau DAP untuk memastikan bahawa parti itu melaksanakan tanggungjawabnya selepas diberi mandat oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











