KUALA LUMPUR 9 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO membantah sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dilihat menjejaskan perpaduan dan pembinaan negara bangsa.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan perlu mempertahankan sistem pendidikan sedia ada di negara ini dan sekiranya sebarang ruang dibenarkan untuk sistem berasaskan kaum, hasrat untuk mewujudkan nilai kebangsaan dalam kalangan rakyat tidak akan tercapai.
“Kita mesti melihat kepada kepentingan negara, dalam isu ini saya tertarik dengan ulasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahu mengutamakan negara berbanding bangsa.
“Jadi atas semangat itu kita harus juga mempertahankan sistem yang bersifat nasional dan tidak bersifat perkauman. Kita harus pertahankan satu sistem yang ada, kerana kalau kita benarkan ruang-ruang berasaskan kaum ataupun bangsa, kita tidak dapat wujudkan nilai kebangsaan yang dihasratkan selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO pertama sejak pemilihan sayap parti di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sebelum ini berkata, isu berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu diselesaikan secepat mungkin supaya pemegang sijil berkenaan dibenarkan memasuki perkhidmatan awam.
Kerajaan negeri Melaka juga telah mengumumkan pengiktirafan UEC minggu lalu sebagai syarat kelayakan membolehkan memasuki perkhidmatan awam negeri itu.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat Exco Pemuda UMNO pada hari ini memfokuskan dua agenda utama yang akan dilaksanakan pergerakan tersebut supaya dapat menjadi pembangkang yang berwibawa serta aspek pengukuhan dalaman parti.
“UMNO perlu menjadi pembangkang yang berwibawa, Pemuda UMNO harus ke hadapan membawa suara rakyat bagi kita jadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada. Kerajaan hari ini bukanlah malaikat yang tiada dosa dan kesalahan.
“Selain itu, aspek kedua, Pemuda UMNO akan membina semula kekuatan dalaman kami. Jelajah kepemimpinan telah kami mulakan di negeri-negeri untuk memastikan semua ahli mempunyai tahap keyakinan dalam memperjuangkan isu-isu dan kepentingan rakyat,” katanya.









