Ucapan terima kasih sambut pasukan penyelamat di gua Chiang Rai - Utusan Malaysia

Ucapan terima kasih sambut pasukan penyelamat di gua Chiang Rai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Deraian air mata yang diiringi ungkapan ‘terima kasih, terima kasih’ menyambut kepulangan pasukan penyelamat apabila sekumpulan 12 kanak-kanak lelaki dan jurulatih mereka ditemui selamat di dalam gua yang banjir di Chiang Rai, utara Thailand malam tadi.

Sepasukan Tentera Laut Diraja Thailand (SEAL) dan penyelam dari luar negara menemui kumpulan kanak-kanak itu yang berumur antara 11-16 tahun dan jurulatih mereka, 25, di dalam gua Tham Luang pada pukul 9.30 malam tadi (waktu tempatan) iaitu 10 hari selepas mereka dilaporkan hilang.

Satu rakaman berdurasi lima minit disiarkan dalam akaun facebook SEAL lewat malam tadi mengenai keadaan kanak-kanak berkenaan, yang berkaki ayam tapi masih memakai jersi sukan serta duduk di bahagian atas batu yang kering di dalam gua yang gelap itu.

Sesetengah kanak-kanak berkenaan dillihat menyapu titisan air mata kegembiraan selepas melihat pasukan penyelamat yang berusaha mententeram dan memberi jaminan yang mereka selamat dan usaha sedang dilakukan untuk membawa mereka keluar dari gua itu secepat mungkin.

“Bukan hari ini, bukan hari ini, kita akan datang, ramai akan datang. Kami yang pertama,” kata seorang daripada pasukan penyelamat itu yang pandai berbahasa Inggeris kepada kanak-kanak dan jurulatih Akademi Bola Sepak Mu Pa, apabila ditanya oleh seorang daripada kanak-kanak berkenaan mengenai bila mereka akan dibawa keluar dari gua berkenaan.

Seorang daripada kanak-kanak berkenaan juga bertanya apakah hari ini, yang lantas dijawab oleh seorang daripada pasukan penyelamat, “hari ini Isnin, kamu telah berada dalam gua ini selama 10 hari. Kamu amat tabah. Kami telah menyelam selama berhari-hari.”

Berita berkenaan yang dinantikan oleh berjuta rakyat Thailand dan masyarakat luar negara yang bimbang dengan keselamatan kumpulan kanak-kanak tersebut diumumkan oleh Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osoththanakorn yang mengumumkannya pada sidang akhbar berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 11 malam tadi (waktu tempatan). – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN