KOTA BHARU – Pengubahsuaian motosikal termasuk bahagian tangki dan lampu hadapan jentera dua roda itu menjadi antara taktik terbaharu penyeludup membawa keluar petrol ke negara jiran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Firdaus Zakaria berkata, menerusi kaedah itu, seorang penyeludup mampu memperoleh keuntungan kasar sehingga RM340 sehari.
“Penyeludup petrol ini akan berulang-alik kira-kira 20 kali sehari dengan keuntungan RM17 bagi setiap kali perjalanan,” katanya kepada pemberita di Stor KPDNHEP di Chicha Menyabong di sini hari ini.
Firdaus berkata, terbaru, pihaknya merampas sebuah motosikal yang telah diubah suai mengandungi 10 liter petrol ketika melakukan operasi di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di Pasir Mas, Isnin lepas.
Bagaimanapun, suspek melarikan diri dan pihaknya merampas motosikal terbabit dengan nilai sitaan berjumlah RM1,522.
Firdaus berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan seorang warga Thailand dan merampas sebuah kereta mengandungi 90 liter petrol dengan keseluruhan sitaan bernilai RM3,396.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula Isnin lepas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kita dapati modus operandi mereka adalah dengan membeli petrol di stesen minyak berhampiran sempadan menggunakan kenderaan yang diubah suai sebelum diseludup ke Thailand melalui ICQS Rantau Panjang,” katanya.
Firdaus berkata, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di seluruh 35 stesen petrol di sepanjang sempadan negeri ini bagi mengekang aktiviti penyelewengan dan ketirisan bahan api itu.
Sejak Januari hingga Jun lepas, sejumlah 29 kes penyeludupan membabitkan petrol, diesel dan minyak masak dengan nilai rampasan berjumlah RM247,704 direkodkan di Kelantan. – Bernama










