KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan diminta untuk memperjelaskan dengan lebih terperinci berkaitan dakwaan 70 peratus barangan mengalami penurunan harga sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar 1 Jun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kajian yang dilakukan pihaknya di kawasan utara negara ini mendapati tiada data kukuh yang menunjukkan situasi tersebut berlaku.
“Setelah membuat perbincangan dengan pengguna dan akar umbi, terdapat beberapa barangan yang mengalami penurunan harga dalam kadar yang sedikit, di mana ia tidak seperti yang digambarkan.
“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, sekiranya ia benar-benar berlaku penurunan sebanyak 70 peratus saya berharap kerajaan dapat menjelaskannya secara lebih terperinci agar pengguna tidak rasa tertipu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertahankan hasil kajian pihaknya yang mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak kadar GST sifar dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain pemantauan oleh penguat kuasa KPDNHEP selama sebulan, beliau sendiri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peniaga ketika melakukan tinjauan termasuklah di Pasar Bayan Baru, Pulau Pinang.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu memperjelaskan dengan terperinci tentang barangan yang mengalami penurunan harga seperti yang didakwa oleh KPDNHEP.
“Sekiranya tidak diperjelaskan, akan timbul satu keadaan dimana terdapat dakwaan daripada menteri terbabit bahawa 70 peratus barangan turun harga tetapi realitinya, pengguna membeli dengan harga yang tidak berubah,” jelasnya.










