LEBIH setahun tidak memiliki sebarang karya baharu, Elizabeth Tan merasakan sudah tiba waktunya untuk dia kembali mewarnai dunia nyanyian yang telah lima tahun mengukir populariti dirinya.
Justeru lagu Police Entry ciptaan dan lirik nukilan bersama penyanyi popular Hael Husaini dan Ezra Kong menjadi taruhan terkini gadis berusia 24 tahun ini.
Malah Elizabeth yang mesra disapa Lizzy ini tanpa berselindung berkongsi tentang lagu baharunya itu yang ditujukan kepada bekas kekasihnya.
Biarpun lirik bukan hasil nukilannya, namun kata Elizabeth yang sebelum ini popular menerusi lagu Knock Knock, bait-baitnya ada kena mengena dengan pengalaman percintaannya yang kecundang di tengah jalan.
“Memang saya tujukan lagu ini kepada dirinya. Dia seorang penipu, namun saya tidak perlu mengungkap satu per satu perkara yang telah dilakukannya kepada saya ketika kami menjalinkan hubungan.
“Malah saya sedikitpun tidak kisah andai dia terasa dengan lagu tersebut. Ini adalah lagu dendangan saya dan saya punya hak untuk berbuat apa sahaja,” katanya yang melancarkan lagu Police Entry baru-baru ini.
Elizabeth mengakui, perpisahannya dengan seorang pemuda Melayu pada April tahun lalu kerana orang ketiga memberi tamparan hebat kepada dirinya.
Namun dia tidak pernah terfikir untuk menjadikan lagu tersebut sebagai ‘senjata’ untuknya membalas dendam kepada bekas kekasih biarpun hatinya pernah disakiti lelaki itu.
“Kehidupan saya sekarang semakin bahagia dengan orang sekeliling yang sentiasa mengambil berat tentang diri saya. Lagu ini sekadar menceritakan tentang luahan hati saya ketika cinta dipermain. Tidaklah sampai mahu membalas dendam.
“Tetapi kalau orang bertanya apakah lagu ini untuk bekas kekasih, saya akan jawab ya! Ini cara saya untuk tunjukkan saya semakin bahagia,” katanya.
Dalam pada itu, Elizabeth turut berkongsi keterujaannya apabila diberi peluang mengarahkan sendiri muzik video lagu tersebut yang sudah pun dimuat naik dalam laman perkongsian video, YouTube.
Meskipun masih baru dalam bidang itu, Lizzy mengakui, berbangga dengan pencapaian dirinya yang sebelum ini agak ragu-ragu dengan kemampuannya.
“Terima kasih kepada pihak Warner Music kerana memberi peluang dan percayakan kebolehan saya. Saya gembira dapat belajar perkara baharu dan pembikinan muzik video bukan sesuatu yang bukan mudah.
“Masih banyak ilmu yang perlu saya pelajari dan saya akui kurang berpuas hati dengan hasil muzik video ini. Pun begitu, saya tetap menjadikannya sebagai penanda aras buat diri saya dalam menghasilkan lebih banyak muzik video sendiri selepas ini,” katanya.
Murung itu membunuh!
BERKONGSI kisah pascaperpisahan, Elizabeth mengakui bahawa tidak mudah untuk dia menerima kenyataan percintaan yang tidak kesampaian sehingga emosinya tidak stabil.
Pernah menangis berhari-hari, dia turut mengalami kemurungan sehingga pernah hampir mencederakan diri.
“Kemurungan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Hanya individu yang pernah mengalaminya sahaja tahu bagaimana terseksanya jiwa saat berada dalam fasa getir itu,” katanya.
Bagaimanapun Elizabeth bernasib baik kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat daripada keluarganya agar tidak mengikut perasaan dan tidak bertindak di luar kawalan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya.
“Semasa saya alami depresi, sebulan saya tak keluar rumah. Duduk dalam bilik dan menangis lima, enam jam setiap hari. Saya rasa waktu itu saya sudah tidak seperti diri saya lagi.
“Namun saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang begitu memahami dan banyak memberi sokongan terutama sekali ibu saya. Dia sanggup bercuti selama dua minggu semata-mata untuk menjaga dan memastikan makan minum saya terjaga sepanjang waktu.
“Saya memang amat berterima kasih kepadanya kerana walaupun saya pernah ingkar dan degil, dia tetap ada di sisi saya dan menjaga saya tanpa lelah.
“Saya amat bersyukur,” katanya yang turut mengakui pernah merujuk masalahnya itu dengan pakar psikologi.










