TPM simpulkan lawatan sulung ke luar negara beri pendedahan besar - Utusan Malaysia

TPM simpulkan lawatan sulung ke luar negara beri pendedahan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ULAANBAATAR (Mongolia) – Datuk Seri Dr. Wan Azizah menyifatkan lawatan sulungnya ke luar negara sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Mongolia adalah satu pendedahan yang hebat dan berjanji untuk mengekalkan perbelanjaan berhemah ketika melaksanakan tugas rasmi di luar negara.

“Alhamdulillah. Ia adalah pengalaman pembelajaran yang hebat bagi saya, pendedahan pertama saya mewakili Malaysia di luar negara,” katanya ketika menyimpulkan lawatan beliau ke Mongolia bermula 3 Julai lalu.

Wan Azizah dalam perjalanan pulang selepas melakukan lawatan tiga hari di ibu negara Mongolia sempena Persidangan Menteri-Menteri Asia mengenai Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, Malaysia meraih banyak manfaat apabila menyertai AMCDRR dalam bidang pengurangan risiko bencana.

“Kami mendapat idea, (membina) jaringan dengan hubungan Asia yang penting. Malaysia dapat mempelajari ilmu bermanfaat dan turut juga menyumbang,” katanya. 

AMCDRR merupakan platform untuk membincangkan mekanisme serantau bagi menangani isu-isu berkaitan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Pasifik.

Lebih 3,000 perwakilan dari 50 negara Asia Pasifik berhimpun di ibu negara Mongolia bagi menghadiri persidangan empat hari yang berakhir esok.

Wan Azizah membuat keputusan untuk menaiki penerbangan komersial untuk lawatan sulung ke luar negara kerana faktor kos dan tidak menaiki pesawat kerajaan kerana ia melibatkan kos yang tinggi dan memilih menginap di bilik hotel jenis biasa.

Ditanya sama ada menteri Kabinet yang lain dikehendaki mengikuti pendekatan beliau memilih ‘perbelanjaan berhemah’  semasa lawatan ke luar negara, Wan Azizah berkata, ia adalah nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memandangkan masalah kewangan yang dihadapi negara.

Beliau juga berkata, lawatan ke luar negara oleh menteri Kabinet  perlu dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu untuk kelulusan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN