ALOR SETAR 4 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyifatkan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menyokong calon Speaker Pakatan Harapan (PH) adalah tidak wajar.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan itu juga menunjukkan yang mereka tidak sensitif terhadap ahli UMNO sendiri.
“Dalam hal ini kami fikir pucuk pimpinan negeri dan Pusat membuat keputusan yang salah apabila mengarahkan ketiga-tiga ADUN ini bertindak menyokong PH.
“Kami memahami akan akibat apabila Dewan Undangan Negeri gagal melantik Speaker namun tindak mereka bertindak menyokong dan tidak mengambil sikap berkecuali menimbulkan tanda tanya cukup besar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya mereka merasakan terdapat rundingan pintu belakang yang tidak akan memberi apa-apa pulangan terhadap parti.
“Di saat UMNO memerlukan kemenangan kecil atas apa jua situasi politik, tindakan mereka ini bolehlah diibaratkan menghancurkan ‘hari’ ahli-ahli dan pejuang parti.
“Kami merasa cukup sedih dan hiba di atas pengkhianatan ini. Tindakan menyokong dan bukan berkecuali benar-benar tidak difahami,” katanya.
Selain itu pergerakan tersebut turut memohon agar Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pusat tidak membuat keputusan dalam keadaan tertekan atau terhimpit.
“Hakikatnya kepemimpinan UMNO sedia ada wajar menunjukkan kepemimpinan sebenar dan tidak semata-mata tunduk tanpa ada alasan yang wajar. Tindakan itu hanya akan melukai serta mengguris perasaan ahli serta pejuang parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










