LIPIS 17 Julai – Kerajaan Pusat diharap dapat meneruskan projek pembinaan jalan raya dari Pos Betau ke Pos Lenjang di sini yang dihentikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail percaya kerajaan Persekutuan prihatin untuk meneruskan projek tersebut bagi kepentingan rakyat khususnya yang tinggal di pedalaman.
“Kerajaan negeri sedia bekerjasama dan berunding dengan Pusat bagi merealisasikan segera projek berkenaan yang mampu memberi manfaat kepada seramai 4,000 penduduk Orang Asli di Pos Lenjang dan kampung berdekatan di Jelai.
“Sebelum ini, kerajaan terdahulu memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi menaik taraf jalan raya sepanjang 35 kilometer itu namun kerja-kerja berkaitan projek berkenaan dihentikan selepas PRU-14,” katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri Bersama Masyarakat Orang Asli di Sungai Koyan, dekat sini baru-baru ini.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, harapan tinggi disandarkan kepada kerajaan hari ini berikutan rungutan daripada Tok Batin dan masyarakat Orang Asli supaya projek itu diteruskan bagi kemudahan mengangkut hasil dan berurusan di Pekan Sungai Koyan, Bandar Lipis serta Raub.
“Usaha ini bertujuan memodenkan kehidupan masyarakat Orang Asli menerusi peningkatan pendapatan dan peluang pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Kemal Asuh, 42, berkata, masyarakat Orang Asli di pedalaman Jelai sangat berharap projek pembinaan jalan raya tersebut diteruskan untuk kemudahan memunggah hasil dan melakukan urusan di bandar terdekat.
“Ketika ini hanya kampung kami belum dihubungkan dengan jalan tar berbanding kampung Orang Asli di tempat lain. Kami merayu kepada Kerajaan Pusat supaya projek yang tergendala sebelum ini diteruskan,” ujarnya.











