Terus bangkit selepas tragedi kebakaran - Utusan Malaysia

Terus bangkit selepas tragedi kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALUNAN suara kanak-kanak mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran jelas kedengaran di pintu utama pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaik sahaja salam dihulurkan, seorang pelajar senior Muhd. Syahmin Che Azmi, 19, mempersilakan penulis masuk ke dalam pusat tahfiz yang terletak di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu.

Muhd. Syahmin yang turut serta dalam kumpulan tahfiz berpakaian serba putih dan berserban khusyuk menghafal al-Quran mengundang rasa sayu sesiapa yang mendengar.

Pemuda yang berasal dari Ampang, Taman Cahaya, Selangor itu, berkata, pusat tahfiz tersebut memberi ruang kepadanya untuk menghafal al-Quran lebih selesa.

“Kediaman sebelum ini sudah memadai tetapi tidak banyak kemudahan yang tersedia seperti di sini.

“Di sini ada pendingin hawa, ruang makan yang luas, surau dan gelanggang badminton untuk aktiviti riadah.

“Selain itu, bangunan ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang membuatkan kami lebih yakin untuk menuntut ilmu di sini,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Tragedi

Bangunan tahfiz lima tingkat itu, menempatkan rata-rata pelajar berumur antara 12 hingga 19 tahun.

Ditubuhkan sekitar 18 tahun lalu, Darul Quran Ittifaqiyah merupakan sebuah pusat pendidikan tahfiz yang menjadikan hafazan al-Quran sebagai mata pelajaran teras. Menyorot memori sembilan bulan lalu, pusat tahfiz itu menggemparkan masyarakat Malaysia dengan tragedi kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa termasuk 21 pelajar dan dua guru berusia antara tujuh hingga 26 tahun.

Tragedi kebakaran menyayat hati sewaktu azan Subuh pada 14 September itu telah mendapat reaksi dan pertolongan pelbagai pihak.

Muhd. Syahmin mengakui, peristiwa tersebut masih menjadi igauan ngeri kerana tragedi itu mengorbankan sahabat karibnya.

Namun, Muhd. Syahmin reda dengan ketentuan ilahi. Dia tidak serik untuk meneruskan pengajian di pusat tahfiz tersebut kerana yakin tahap keselamatannya lebih terjamin.

Hampir setahun kejadian itu berlaku, pusat tahfiz tersebut kini beroperasi di kediaman baharu yang terletak di Keramat Hujung, kira-kira 400 meter dari lokasi bangunan yang terbakar.

Pusat tahfiz yang berkeluasan 920 meter persegi itu, memiliki kemudahan serba lengkap walaupun pelajarnya tidak dikenakan sebarang yuran.

Ia dilengkapi ruang belajar, tempat tidur dengan 65 katil, pendingin hawa, ruang makan, surau dan gelanggang badminton, selain 18 kamera litar tertutup (CCTV), loceng keselamatan serta lebih 10 buah alat pemadam api.

Pengetua pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd. Zahid Mahmood memberitahu, kejadian yang dianggap ujian daripada Allah itu, tidak sedikit pun menggoncang semangatnya serta guru dan pelajar untuk terus menyambung pengajian mereka.

“Lebih-lebih lagi, kini kami beroperasi di bangunan baharu yang lebih selesa. Nikmat yang ditarik dulu, kini digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

“Alhamdulillah semua kelengkapan dan keselamatan disediakan sangat membantu pelajar dan pihak pengurusan. Bangunan ini lebih teratur dengan adanya pejabat khas, dewan makan dan asrama pelajar serta guru,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Kecaman

Menurut Mohd. Zahid, walaupun menerima pelbagai kecaman susulan tragedi itu, permintaan untuk belajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terus meningkat.

“Pada November tahun lalu kami membuka permohonan kemasukan baharu pelajar tetapi tidak menyangka menerima 160 permohonan daripada ibu bapa.

“Bagaimanapun, kami hanya dapat ambil 55 pelajar, menjadikan jumlah pelajar 65 orang. Permintaan yang ramai itu membuktikan masyarakat mahu kami meneruskan pusat tahfiz ini,” ujarnya yang masih terkenangkan dua guru maut dalam kebakaran lalu.

Mengimbau tragedi kebakaran lalu, ketika kejadian itu berlaku, Timbalan Mudir pusat tahfiz berkenaan Mohd. Azhaari Mohamod sedang menunaikan haji di Tanah Suci Mekah.

“Apabila mendapat tahu berita itu, perkara utama yang dia tanyakan adalah isteri dan anaknya kerana mereka tinggal di bangunan tahfiz terbakar itu.

“Dia tidak putus-putus berdoa ketika itu, alhamdulillah berkat doa di sana, keluarganya selamat. Namun tetap terkilan kerana anak-anak tahfiz yang meninggal dunia itu cukup baik dengannya dan tidak sempat berjumpa buat kali terakhir,” jelasnya.

Mohd. Zahid memberitahu, pihaknya merancang untuk membuka sebuah cawangan baharu untuk kelas pengajian kitab di bangunan lama yang terbakar itu.

“Jadi, Darul Quran Ittifaqiyah akan menjadi dua kelas besar iaitu tahfiz dan pengajian kitab.

“Kelas kitab itu adalah pembelajaran yang merangkumi ilmu fiqh, usuluddin, tafsir, syariah, hadis dan tauhid. Pelajar yang telah tamat belajar akan ke sana dan pada peringkat permulaan pihaknya mengambil lelaki sahaja.

“Dijangka awal tahun hadapan bangunan itu siap dibaik pulih dan kita akan memulakan kelas dengan pengambilan 20 orang sahaja untuk peringkat awal,” ujarnya.

Tambah Mohd. Zahid, setiap semester pelajar akan mempelajari subjek yang berbeza-beza dan tempoh pengajian tersebut adalah selama enam tahun.

Golongan wanita

Jelasnya lagi, jika kelas alim itu memberi sumbangan cukup besar dalam dakwah Islamiah, pihaknya bercadang untuk membukanya kepada golongan wanita.

“Cuma, perancangan ini akan teliti semula dan dengan melihat perkembangan dari segi keberkesanan ilmu dan kos perbelanjaan,” tuturnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga bercadang untuk melahirkan pelajar-pelajar tahfiz yang berkemahiran vokasional supaya dapat memberi sumbangan kepada negara.

“Sedar akan kepentingan itu, pihak kami dalam perancangan untuk bekerjasama dengan Institusi Kemahiran Baitulmal untuk membuka kelas-kelas kemahiran kepada pelajar tahfiz.

“Ia tidak wajib. Hanya pelajar yang berminat akan kami hantar dan kelas-kelas tersebut berlangsung setiap hari Sabtu,” jelasnya.

Antara program yang ditawarkan ialah kulinari, elektrik, pengurusan restoran, mekanikal dan pembuatan roti.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Fazzrul Mohd. Fairuz, 12, yang merupakan pelajar baharu berkata, dia tetap bersemangat untuk belajar di situ dan tidak berasa takut walaupun ramai kawan-kawannya sering bercerita mengenai tragedi kebakaran lalu.

“Saya sangat berminat dengan al-Quran dan tidak bimbang mengenai kisah silam tahfiz ini. Ibu dan bapa juga cakap jangan takut kerana Allah ada.

“Paling penting saya dapat menjadi seorang hafiz suatu hari nanti dan mengajar al-Quran kepada masyarakat yang memerlukan,” jelas anak sulung daripada dua beradik itu.

Meskipun pernah terpalit dengan tragedi kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa, kepercayaan ibu bapa terhadap Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak pernah luntur apabila pusat tersebut menerima 160 permohonan baharu untuk sesi pembelajaran November tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN