Terengganu teruskan projek berskala besar untuk rakyat - Utusan Malaysia

Terengganu teruskan projek berskala besar untuk rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 3 Julai-Kerajaan Pas akan tetap meneruskan projek-projek berskala besar yang melibatkan kepentingan rakyat di bawah rangka kerjasama awam-swasta (PPP) pada masa depan melalui kaedah pembayaran secara tertangguh dan juga kaedah bayaran berjadual.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, namun pendekatan lebih berhati-hati perlu diambil dengan melakukan kajian terperinci terutama mengambil kira keupayaan untuk melunaskan bayaran agar kerajaan negeri tidak terbeban.

Beliau memberitahu sidang Dewan Undangan negeri (DUN) hari ini, pada masa kini terdapat enam projek di bawah kerajaan negeri terdahulu digerakkan di bawah PPP yang keseluruhannya menelan kos lebih RM3 billion dengan tempoh pembayaran antara lima hingga 13 tahun.

“Ini termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Sah Kemaman (RM686.78 juta) dengan tempoh bayaran enam tahun dan Skim Bekalan Air Terengganu Utara (RM1.3 bilion) sepanjang 13 tahun dan pembinaan pusat pentabiran daerah Kuala Nerus (RM600 juta) sepanjang lapan tahun.

“Juga pembangunan muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta),  Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.4 juta)  dan pembangunan bandar baharu Kijal Fasa 2 (RM250 juta) yang kesemuanya dalam tempoh lima tahun.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh  penyokong kerajaan, Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) dan soalan tambahan oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi (Pas-Batuk Buruk).

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kos pembiayaan secara ansuran itu, sebanyak RM70 juta perlu dilunaskan pada 2016, RM70 juta (2017), RM101 juta (2018), RM290.8 juta (2019), RM348.1 juta (2020), RM382.2 juta (2021), RM371.4 (2022), RM339 juta (2023), RM248 juta ( 2024) manakala RM76 juta setiap tahun dari 2025 hingga 2031 dan RM45.3 juta (2032).

Beliau menarik perhatian, kesemua enam projek ini masih berjalan, dan dua daripadanya iaitu bekalan air yang melibatkan kos kira-kira RM2 bilion memang perlu digerakkan kerana ia penting bagi memenuhi keperluan rakyat.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN