Terengganu pertimbang wujud pusat rehabilitasi - Utusan Malaysia

Terengganu pertimbang wujud pusat rehabilitasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 3 Julai – Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat rehabilitasi akidah dan akhlak sebagai alternatif kepada hukuman penjara yang dikenakan terhadap pesalah jenayah syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kaedah menghukum dengan dipenjarakan sebahagiannya tidak sesuai untuk dilaksanakan bagi kesalahan berkaitan akidah seperti ajaran sesat, akhlak dan masalah sosial.

“Sekarang ramai orang nampak apa-apa sahaja ke penjara, sebenarnya ada pro dan kontra dalam pelaksanaan hukuman penjara itu sedangkan ia juga boleh diganti dalam bentuk khidmat masyarakat atau kerja sosial untuk menjadikan pesalah lebih bertanggungjawab.

“Bagi orang Islam, pesalah syariah kadang-kadang tidak sesuai dihukum seperti jenayah sivil dengan mereka diletakkan dalam penjara dan mengikut peraturan penjara, jadi kita akan mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat rehabilitasi ke arah membimbing mereka kepada pemulihan agar kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang menjawab soalan lisan penyokong kerajaan, Ridzuan Hashim (Pas-Buluh Gading) berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti untuk menambah baik institusi Mahkamah Syariah mahu pun jabatan penguatkuasaan dan pendakwaan dari segi pembangunan infrastruktur serta kakitangan.

Katanya, ketika ini langkah pengasingan telah dibuat membabitkan bahagian pendakwaan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sekali gus dinaik taraf sebagi sebuah jabatan agar dapat memperkasakan lagi pelaksanaan syariah.

“Di samping itu, kita juga akan menambah bilangan penguat kuasa syariah (sukarelawan) hingga ke peringkat kampung dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar anggota masyarakat turut berperanan kerana jumlah yang ada pada masa ini hanya lebih kurang 100 orang di seluruh Terengganu,” katanya.

Selain itu Satiful Bahari memberitahu, kempen kesedaran akan turut dirancakkan di semua peringkat bagi mendidik masyarakat ke arah amal makruf nahi mungkar termasuk dalam soal berpakaian dan aurat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN