SHAH ALAM – Bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang mayatnya ditemui di dalam peti sejuk di rumah seorang pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selayang disahkan mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penemuan itu hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas bayi berkenaan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur bermula pukul 9.45 pagi hingga 1 petang semalam.
Katanya, keputusan bedah siasat itu sekali gus menafikan keterangan yang diberikan oleh suspek warga tempatan sebelum ini yang mendakwa bayi tersebut tersedak susu.
“Hasil bedah siasat mendapati mayat bayi itu mempunyai kesan retakan pada tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan dalam otak.
“Kita masih menjalankan siasatan sama ada bayi itu dipukul, dihempas atau terjatuh semasa dalam jagaan pengasuh. Tiada sisa susu ditemui pada kerongkong mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.











