Telan kertas pertaruhan, lelaki mati sesak nafas - Utusan Malaysia

Telan kertas pertaruhan, lelaki mati sesak nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 3 Julai – Gara-gara mahu melupuskan barang bukti, seorang lelaki sanggup memasukkan sekeping kertas pertaruhan ke dalam mulut dan menelannya ketika serbuan dijalankan di sebuah premis di Pekan Behrang Stesen di Behrang semalam.

RAZARUDIN HUSAIN
RAZARUDIN HUSAIN

Tindakan lelaki berusia 42 tahun itu bagaimanapun membawa padah apabila dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ketika serbuan pada pukul 10 malam itu dijalankan, lelaki berkenaan mula bertindak agresif sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Katanya, lelaki itu yang merupakan ejen pertaruhan judi bola sepak disyaki cuba melupuskan barang bukti dipercayai sekeping kertas pertaruhan selain menghempaskan komputer riba ke lantai.

“Suspek berkelakuan agresif terhadap pihak polis dalam cubaannya melepaskan diri daripada ditangkap namun dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.

“Pihak polis segera menghubungi ambulans Hospital Slim River untuk bantuan dan suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan oleh Skuad Taktikal Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (Stagg) Ibu pejabat Polis Bukit Aman itu dijalankan setelah menerima maklumat terdapat aktiviti perjudian

melibatkan pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia di premis berkenaan.

Katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 6(3)Akta Pertaruhan kerana menjalankan pertaruhan judi bola sepak selain siasatan terhadap kematian mengejut suspek.

“Siasatan itu dijalankan bagi mengetahui punca kematian suspek. Oleh itu, bedah siasat bagi mendapatkan sebab kematian akan dijalankanesok,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN