Tangan mengembang akibat acromegaly - Utusan Malaysia

Tangan mengembang akibat acromegaly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGI itu, Chloe Powell bangun seperti biasa dan bersiap untuk membeli-belah bersama ibunya.

Dia mahu mencari cincin memandangkan majlis pertunangannya sudah semakin hampir.

Setibanya di sebuah kedai barang kemas, Powell terkejut apabila semua cincin yang ada di situ langsung tidak muat dengan jarinya.

Wanita kelahiran Bristol, England itu pulang ke rumah dengan tangan kosong dan mula tertanya-tanya mengapa jari-jemarinya berubah saiz.

Dia juga menyedari bahawa kakinya sudah mengembang dan dia yang dahulunya memakai kasut bersaiz enam kini terpaksa menyarung kasut bersaiz sembilan.

“Saya sedang membeli-belah bersama kakak dan mula menyedari bahawa saya sudah tidak lagi boleh memakai kasut bersaiz enam.

“Pada usia 31 tahun, saya dapati ia sesuatu yang amat pelik apabila kaki berubah saiz dengan begitu ketara,” ujarnya.

Ujar Powell, selain menyedari kaki dan tangannya sudah mengembang, kepalanya juga sering terasa pening, menyebabkan dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah.

“Saya sering mengalami sakit kepala yang teruk selain mudah menjadi letih.

“Ia mengganggu aktiviti harian saya,” ujarnya seperti dipetik portal Mail Online.

Sakit kepala

Bimbang dengan keadaan kesihatannya, Powell mula mendapatkan pemeriksaan doktor dan melakukan imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI).

Powell bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga enam minggu sebelum keputusan imbasan itu dikeluarkan.

Dalam tempoh tersebut, keadaan kesihatan Powell semakin merosot kerana dia semakin kerap sakit kepala dan ia menjadi bertambah kerap.

“Saya fikir saya mengalami dehidrasi. Begitu pun, selepas minum sehingga berliter-liter air, kepala saya masih juga sakit,” tuturnya.

Keputusan imbasan mendapati bahawa wanita tersebut menghidap satu ketumbuhan kecil pada bahagian otaknya.

Ia menyebabkan satu keadaan yang dipanggil acromegaly yang menyebabkan tubuh mengeluarkan terlalu banyak hormon pembesaran.

Kaki besar

Akibatnya, saiz tangan dan kaki menjadi lebih besar daripada normal.

“Doktor kemudian menyarankan saya untuk menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut.

“Begitu pun, ia menyebabkan saya menjadi tidak subur,” ujar Powell sedih.

Selepas menjalani pembedahan, saiz tangan dan kaki Powell kembali normal, menjadikan dia cukup gembira.

Acromegaly bagaimanapun tiada penawar dan hanya mampu dikawal dengan mengurangkan tekanan dalam hidup.

Menurut Powell, acromegaly menyebabkan peningkatan hormon kortisol dan aldosterone yang mengawal tekanan darah.

“Sekiranya saya menjadi terlalu tertekan, kadar adrenalin saya akan menjadi tinggi dan ia boleh mengancam nyawa.

“Oleh itu, saya perlu bijak mengawal tekanan dalam hidup,” katanya.

Kini, wanita berambut perang itu mendapatkan nasihat daripada Pituitary Foundation di Bristol yang merupakan sebuah badan kesihatan untuk penghidap acromegaly.

Menurut Powell, biarpun penyakitnya tiada penawar, dia bersyukur kerana dikelilingi oleh ahli keluarga dan rakan-rakan yang sedia membantunya untuk mengawal tekanan.

Tangan serta kaki Chloe Powell mengembang akibat penyakit acromegaly yang merupakan satu masalah ketidakstabilan hormon yang aneh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN