KANGAR 20 Julai – Seluruh rakyat dan kepemimpinan negeri ini mestilah bersatu dan merapatkan saf di bawah naungan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kerana baginda adalah tonggak pemerintah atau ‘Ulil Amri’.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Raja Perlis adalah tonggak kepemimpinan tertinggi yang wajib ditaati seisi negeri.
Selain itu, baginda juga menasihatkan semua pihak di segenap peringkat agar sentiasa menjaga integriti dan membendung sebarang sikap tidak bertanggungjawab.
“Jadikanlah al-Quran dan al-Sunnah pegangan yang kukuh. Ingatlah, sebarang yang buruk perlu dijadikan sempadan dan yang baik pula dijadikan teladan dengan tidak diulangi setiap kealpaan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) peduli kali ke-52 bagi tahun 2018 yang diadakan bersempena ulang tahun keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin ke-75 di Masjid Nurul Hikmah Wang Hulu, Bintong, di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.
Terdahulu, seramai 40 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Nurul Hikmah masing-masing menerima agihan zakat MAIPs sebanyak RM600.
Untuk rekod, program tersebut merupakan kayuhan kali ke- 445 yang disertai sendiri oleh baginda sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2013. – UTUSAN ONLINE










