Syafiq Kyle rugi RM40,000 ditipu sindiket penipuan wang haram - Utusan Malaysia

Syafiq Kyle rugi RM40,000 ditipu sindiket penipuan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelakon Syafiq Kyle mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila dia menjadi mangsa muslihat sindiket penipuan wang haram yang dilakukan menerusi panggilan telefon pada Sabtu lalu.

Syafiq atau nama lengkapnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 26, berkata, kejadian tersebut berlaku dengan sangat pantas dan modus operandi yang dilakukan sindiket terbabit begitu meyakinkan.

“Mereka yang menyamar sebagai pihak bank dan pihak berkuasa meminta saya memasukkan wang ke akaun yang diberikan kerana kononnya saya pernah melakukan kesalahan. Semuanya berlaku dengan pantas kerana ‘lakonan’ mereka menerusi panggilan telefon bimbit yang diterima benar-benar menjadi.

“Sungguhpun begitu, saya reda dengan apa yang telah berlaku. Mungkin bukan rezeki saya,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Pelakon drama bersiri Nur itu telah membuat laporan di Balai Polis Tun Abdul Razak di sini.

Dalam pada itu, Syafiq menggesa kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya jika menerima panggilan telefon yang agak meragukan.

“Saya dapati kes sebegini semakin berleluasa sehingga menyebabkan seseorang itu boleh mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

“Justeru, saya berharap agar orang ramai lebih berhati-hati apabila menerima panggilan mencurigakan, khususnya yang melibatkan perkara yang tidak pernah anda lakukan,” katanya lagi. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN