KUALA LUMPUR 4 Julai – Projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang bernilai RM3.5 bilion akan tetap diteruskan buat masa ini.
Ketua Eksekutif Prestariang Berhad, Dr. Abu Hasan Ismail berkata, langkah itu berikutan perjanjian konsesi telah dimeterai antara syarikatnya dengan kerajaan terdahulu pada 18 Julai tahun lalu.
“Seperti biasa, kami telah menandatangani perjanjian muktamad dengan terma dan syarat yang dipersetujui.
“Jadi, kami akan pastikan projek SKIN ini diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan beliau dengan Majlis Penasihat Kerajaan, di sini hari ini.
Prestariang , melalui anak syarikatnya, Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSkin) telah memeterai perjanjian konsesi selama 15 tahun dengan kerajaan, yang diwakili oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, bagi pelaksanaan SKIN.
Ia merupakan platform teknologi bersepadu bernilai RM3.5 bilion bagi memodenkan aplikasi utama dan infrastruktur sistem imigresen di negara ini.
Pembangunan SKIN, melalui kombinasi kepakaran dalaman serta usaha sama dengan rakan kongsi utama akan mengambil masa selama tiga tahun iaitu dari 2018 hingga 2020.
Pelaksanaan SKIN akan memberi penambahbaikan terhadap proses-proses imigresen bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan menerusi dasar, tenaga kerja, proses, operasi dan ketetapan data. – UTUSAN ONLINE










