Sistem ekonomi Islam atasi jurang pendapatan - Utusan Malaysia

Sistem ekonomi Islam atasi jurang pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 18 Julai – Permasalahan ekonomi khususnya yang melibatkan jurang perbezaan pendapatan antara rakyat mampu diatasi dengan menggunakan sistem eko­nomi Islam.

Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif International Centre for Education in Islamic Finance (Inceif), Prof. Datuk Azmi Omar berkata, selain memberi manfaat, sistem tersebut dapat mengelakkan perkara-perkara yang memberi kesan buruk kepada masyarakat, komuniti dan alam sekitar.

Katanya, di negara ini kira-kira 30 peratus syarikat kewa­ngan telah melaksanakan sistem perbankan Islam dan peratusan itu bertambah saban tahun berbanding negara lain.

“Di Malaysia, kita bukan sahaja bercakap tentang pematuhan syariah, tetapi lebih daripada itu. Ini termasuk kad skor Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan disambut oleh bank-bank lain terma­suk Bank Dunia.

“Contohnya dalam konteks perbankan Inceif, Bank Dunia dan beberapa bank lagi di Malaysia mahupun luar negara, kita membangunkan carta prinsipal untuk VBI iaitu berasaskan kepada nilai.

“Nilai ini yang kita mahu pegang supaya memberi kebaikan kepada manusia, persekitaran dan juga bank-bank. Ketiga-tiga faktor itu perlu diambil kira dalam memberi pembiayaan, sama juga jika dilihat dalam konteks pelabur apabila membuat pelaburan, ia mesti memberi tiga kebaikan iaitu keuntungan, manusia dan persekitaran,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi salah seorang ahli panel dalam sesi ‘Economy Matters’ dalam Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) Ke-5 2018 di Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kad skor VBI yang akan dilancarkan oleh BNM pada Oktober hadapan sempena Forum Kewangan Islam Global itu penting kerana ia berdasarkan kepada etika kewangan yang lebih bertanggungjawab kepada manusia, persekitaran dan kewangan.

Katanya, ini kerana di dalam ekonomi, kita tidak boleh melihat konsep ekonomi hanya dalam mengejar keuntungan sahaja, tetapi harus mengambil kira elemen lain iaitu yang pertama komponen kepada persekitaran dan keduanya ialah kesan kepada komuniti.

“Komponen-komponen ini merupakan antara 17 perkara yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Lestari yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.

“Dalam kita membangunkan negara, komponen ini harus diambil kira sama ada dilihat daripada perspektif negara, pelabur atau pembiaya. Jika kita mahu menyediakan bantuan kewa­ngan, komponen ini perlu diambil kira,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN