IPOH 30 Julai – Bermula tahun depan, pengguna jalan raya mempunyai dua pilihan untuk membuat bayaran tempat letak kenderaan di Perak sama ada melalui kupon parkir yang diseragamkan di kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini atau secara e-parking iaitu dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong berkata, penerangan bagi pelaksanaan sistem e-parking tersebut kepada semua PBT termasuk langkah penguatkuasaannya, akan diberikan oleh syarikat yang mengendalikan aplikasi itu pada Ogos ini.
“Pertama, kita menyeragamkan kupon parkir, tetapi pada masa sama, bagi memudahkan pengguna, kita juga akan melancarkan e-parking dengan pembayaran secara perbankan atas talian atau kad kredit. Jadi, kita harap ia dapat berjalan secara serentak pada tahun depan.
“Dengan hanya satu aplikasi, ia boleh digunakan untuk kesemua PBT di negeri ini. Saya percaya lama-kelamaan orang ramai akan memilih e-parking tetapi kita tidak boleh terus membuang terus sistem kupon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis angkat sumpah bagi pelantikan 23 ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tempoh sehingga 14 Julai 2019 di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.
Pelantikan 23 ahli majlis itu merangkumi Datuk Bandar, Datuk Zamri Man selain 10 wakil dari parti DAP, PKR (4), Parti Amanah Negara (4) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (4). – UTUSAN ONLINE










