SIC sah tubuh pasukan MotoGP - Utusan Malaysia

SIC sah tubuh pasukan MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SPEKULASI mengenai kehadiran pasukan Malaysia pada perlumbaan kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kini terlerai setelah penganjur perlumbaan Dorna mengesahkan penyertaan pasukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada musim 2019.

Syarikat tempatan milik negara tersebut yang kini mempunyai dua pasukan dalam saingan kelas Moto2 dan Moto3 melakar sejarah baharu apabila akan mengambil alih tempat pasukan satelit Ducati, Angel Nieto Racing Team (ANRT) untuk berada dalam senarai 11 pasukan yang beraksi pada perlumbaan musim 2019 tersebut.

Pasukan ANRT yang dimiliki bekas pelumba MotoGP, Jorge Martinez Aspar telah memeterai perjanjian dengan SIC baru-baru ini untuk menubuhkan sebuah pasukan baharu yang turut dipercayai akan bekerjasama dengan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasil kerjasama tersebut, Martinez akan menjadi penyelia pasukan tersebut pada musim 2019 namun barisan krew pasukan masih belum diputuskan sama ada muka baharu atau mengekalkan skuad sedia ada.

“Selepas termeterai perjanjian persefahaman di antara ANRT, SIC akan beraksi menggunakan dua slot kelas MotoGP menerusi pasukan ANRT sebelum ini dan Martinez akan menjadi penyelia pasukan baharu tersebut,” kata Dorna dalam satu kenya­taan semalam.

Lebih menarik, SIC bakal menyediakan pasukan terbaiknya apabila turut berjaya menarik minat pengeluar jentera Jepun, Yamaha untuk berkolaborasi selepas pasukan Tech3 membuat keputusan menyertai pengeluar jentera Austria, KTM musim depan.

Hasil perbincangan tersebut, SIC dan Yamaha Motor Co,.LTD bersetuju bekerjasama bagi tempoh tiga tahun sehingga 2021 dengan menggunakan jentera terbaik mereka iaitu YZR-M1.

Difahamkan ketika ini, pelumba Marc VDS, Franco Morbidelli dan pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa dijangka mengisi dua slot perlumbaan pasukan Malaysia tersebut namun keputusan itu masih belum diputuskan memandangkan mereka masih terikat dengan kontrak pasukan masing-masing.

Difahamkan, Pedrosa dijangka mengumumkan status kariernya pada perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda di Litar Sachsenring minggu depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN