SEBUAH portal berita tempatan minggu lalu melaporkan kesediaan atau kesanggupan pasukan peguam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima atau mengakui rakaman suara Nik Mohamad Abduh Nik Aziz (yang sebelum ini dipertikai oleh mereka sebagai sesuatu yang palsu) adalah tulen dan sahih.
Peguam Jacob Dean, yang mewakili Sarawak Report, mengesahkan bahawa Abdul Hadi tidak lagi akan mempertikai ketulenan dan kesahihan rakaman itu. Walau bagaimanapun, pasukan peguam Abdul Hadi mengambil pendirian bahawa perkataan yang terdapat dalam rakaman itu disalah erti. Apakah tafsiran yang betul akan dihujah oleh peguam Abdul Hadi apabila perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi di London pada 1 April 2019 dan dijangka berterusan selama 10 hari?
Dalam rakaman suara Nik Abduh yang sebelum ini dipertikai oleh pasukan peguam Abdul Hadi, Nik Abduh menyatakan sejumlah wang telah diterima oleh beberapa pemimpin Pas untuk mendapatkan sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Perkara pemberian wang kepada pemimpin Pas itu disebutkan dalam rencana yang disiarkan dalam portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.
Lapan bulan selepas siaran rencana itu, pada 21 April 2017 barulah Abdul Hadi (selaku plaintif), menerusi peguamnya Carter-Ruck, memfailkan tuntutan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London terhadap Sarawak Report (selaku defendan). Dalam pembelaannya, Sarawak Report menyatakan rencana yang disiarkan dalam portalnya itu sama sekali tidak menyebut nama Abdul Hadi sebagai penerima wang itu.
Pada 1 Mei 2018, Sarawak Report telah mengemukakan satu permohonan membatalkan (strike out) pernyataan tuntutan plaintif, tetapi permohonan itu ditolak oleh mahkamah. Permohonan sebegini adalah satu strategi biasa oleh defendan,
Andainya permohonan awalan oleh defendan itu berjaya, kes saman fitnah plaintif terhadap defendan akan terhenti di situ sahaja. Andainya permohonan ini ditolak oleh mahkamah, apa yang berlaku adalah kes ini akan berjalan seperti dijadualkan, iaitu dalam kes Abdul Hadi ini prosiding akan bermula pada 1 April tahun depan.
Disebabkan kegagalannya dalam prosiding peringkat awal ini, Sarawak Report (selaku pihak yang memohon perintah pembatalan) telah diperintah oleh mahkamah membayar kos kepada responden (Abdul Hadi) sebanyak £28,900 (RM156,017).
Adalah satu kelaziman dalam kes sivil, sesiapa sahaja yang kalah akan diperintahkan membayar kos kepada pihak yang menang. Walau bagaimanapun, kekalahan Sarawak Report di peringkat awalan (preliminary) ini tidak bermakna ia juga akan kalah nanti apabila isu substantif dan merit kes ini dipertimbangkan oleh hakim bicara.
Dalam satu kes tuntutan fitnah, plaintif perlu membuktikan defendan ada menyiarkan satu kenyataan yang berupa fitnah (menjejaskan reputasi plaintif), dan fitnah itu jelas ditujukan atau dihalakan kepada plaintif. Apabila plaintif berjaya mengemukakan kesnya di mahkamah, defendan pula akan diberi peluang membuat pembelaannya. Antara pembelaan yang biasa dikemukakan oleh defendan adalah kenyataan yang disiarkan itu adalah benar (pembelaan ini dipanggil ‘justifikasi’) atau kenyataan yang disiarkan itu adalah satu komen yang wajar (pembelaan ini dipanggil komen berpatutan).
Ada persamaan antara undang-undang fitnah negara ini dengan undang-undang fitnah United Kingdom, tetapi hakikatnya dalam beberapa hal penting undang-undang di negara itu telah terus diperbaharui dan dimodenkan, manakala undang-undang negara kita masih kekal di takuk lama iaitu Akta Fitnah 1957 (Akta 286).
Ketika orang ramai teruja memperkatakan isu rakaman suara Nik Abduh itu dan ada yang mendesaknya membuat laporan polis, pemimpin muda Pas dari Kelantan berkata adalah tidak perlu baginya membuat apa-apa laporan polis kerana semua ini adalah satu mainan politik menjelang PRU-14.
Dalam pembelaannya, Sarawak Report menyatakan nama Abdul Hadi langsung tidak disebut dalam rencana yang disiarkan pada 6 0gos 2016 itu. Baru-baru ini saya sempat membaca sepenuhnya rencana yang disiarkan itu. (http://www.sarawakreport.org/2016/08/as-najib-denies-all-over-1mdb-lets-not-forget-his-many-other-criminal-connections-comment/).
Berikut adalah ayat dalam rencana itu yang ada menyebut tentang parti Pas – “He (Najib) has gone on to “woo” the Pas Islamic party away from the opposition coalition in the normal way he woos – RM90 million is widely reckoned to have flowed into the top echelons of Pas in recent months…” Yang disebut di perenggan ini hanyalah top echelons dalam Pas, tanpa secara khusus menyebut nama Abdul Hadi.
Beberapa perenggan selepas itu ada ayat lain yang menyebutkan “With Guan Eng in jail alongside Anwar, Pas on the pay-roll, all his critics sacked and his emergency powers in place, Najib plainly reckons he can pull off another election win“. Yang disebut di sini adalah parti Pas secara umum, tanpa menyebut nama-nama ahli tertentu.
Di penghujung rencana itu sekarang, ada nota menyatakan – “This article is the subject of legal proceedings brought by Abdul Hadi Awang. Mr. Awang says that he has not personally accepted nor personally approved the acceptance by anyone at Pas of money from Prime Minister, Najib Razak to secure their political support.” Ini bermakna portal itu sendiri ada menyatakan bahawa Abdul Hadi ada menegaskan dia tidak menerima apa-apa wang daripada bekas Perdana Menteri itu.
Mengikut Prof. Gurdial Singh Nijar, kes Abdul Hadi terhadap portal Sarawak Report ini adalah satu perang besar (battle royal) didengar oleh Mahkamah Tinggi Keadilan London mulai tahun depan. Siapakah yang akan menang akhirnya? Apakah kes ini akan ditarik balik, atau apakah ia akan diselesaikan di luar mahkamah?
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.











