Sewakan lesen perniagaan kepada warga asing, pemilik bakal disenarai hitam - Utusan Malaysia

Sewakan lesen perniagaan kepada warga asing, pemilik bakal disenarai hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Julai – Kerajaan Johor bercadang untuk menyenaraihitamkan pemilik lesen perniagaan yang menyewakan semula lesen mereka kepada warga asing bagi membendung masalah lambakan peniaga asing yang menguasai pasar borong dan gerai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Dr S Ramakrishnan berkata, sehubungan itu, satu perbincangan bersama pihak terlibat akan diadakan tidak lama lagi bagi membincang secara lebih terperinci cadangan berkenaan.

“Ia merupakan isu besar. Bagaimana mereka (peniaga asing) boleh menguasai pasar-pasar borong hingga rakyat Malaysia pun tidak boleh hendak berbuat apa-apa? Macam ada satu sindiket yang kawal.

“Di peringkat PBT pula, banyak gerai-gerai digunakan peniaga asing sedangkan mereka tidak layak pun mendapat lesen berniaga. Ini menunjukkan rakyat Malaysia yang mendapat lesen menyewakan semula lesen terbabit kepada orang asing. Jadi, ini sudah melampau dan kita kena mengambil tindakan tegas,” katanya.

Ramakrishnan berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Penyelarasan Program Perdagangan Dalam Negeri Bersama Persatuan-Persatuan Usahawan dan Penjaja Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor Sheikh Umar Ali.

Ramakrishnan berkata, pihaknya juga bercadang mewujudkan sebuah persatuan pengguna di negeri ini bagi melakukan pemantauan dan penyelidikan terhadap isu berkaitan kepenggunaan.

“Gerakan (persatuan) ini akan berfungsi seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendapatkan maklumat daripada pelbagai peringkat termasuk media untuk disalurkan kepada jabatan-jabatan kerajaan.

“Kita (kerajaan negeri) akan menyokong dari segi peruntukan kerana mahu ia bergerak secara efektif,” kata beliau.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN