KUALA LUMPUR 4 Julai – Gangguan beberapa pihak di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini termasuk mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas supaya membuat sidang akhbar dalam bahasa Melayu dilihat sengaja mengalihkan perhatian rakyat terhadap kes yang sedang berjalan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jutaan rakyat Malaysia lebih ingin mengetahui situasi yang berlangsung dalam prosiding mahkamah, berbanding sidang akhbar yang dikendalikan Tommy.
“Saya fikir dan percaya dalam hal ini, desakan tersebut hanya bertujuan ingin mengganggu prosiding mahkamah sebab saya yakin jutaan rakyat negara ini lebih prihatin mengenai simpanan dan aset yang dicuri.
“Berbanding sidang akhbar yang dibuat oleh Tommy yang tidak menepati kemahuan mereka (pihak yang mengganggu),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan diminta mengulas mengenai tindakan Tommy yang terpaksa menukar tempat sidang media ekoran kekecohan sekumpulan pihak yang memintanya bercakap dalam bahasa Melayu.
Tommy sepatutnya membuat sidang akhbar prosiding di Mahkamah Sesyen dan Tinggi hari ini berkaitan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE











