BANGKOK 4 Julai – Video baharu kanak-kanak daripada pasukan bola sepak Thailand yang terperangkap di dalam sebuah gua di wilayah Chiang Rai dimuat naik hari ini dan menunjukkan kesemua kanak-kanak itu sedang ketawa selain mendakwa mereka dalam keadaan sihat selepas ditemukan pada hari kesembilan setelah dilaporkan hilang.
Dalam video yang menggembirakan semua keluarga mangsa yang setia menunggu di luar kompleks gua itu, rakaman oleh unit SEAL Tentera Laut Thailand menunjukkan 11 daripada 12 anggota pasukan bola sepak tersebut memperkenalkan diri masing-masing dan berkata mereka dalam keadaan sihat.
Dalam klip yang dimuat naik di laman Facebook unit SEAL Tentera Laut Thailand, beberapa kanak-kanak itu dilihat memakai selimut aluminium kecemasan dan ditemani seorang penyelam dalam sut menyelam sambil tersenyum.
Pasukan bola itu diiringi seorang jurulatih berusia 25 tahun yang memasuki gua Tham Luang bersama kanak-kanak berkenaan selepas latihan bola sepak pada 23 Jun lalu.
Video berdurasi satu minit itu berakhir agak melucukan apabila seorang daripada 12 pemain bola sepak tersebut mendakwa dia dilupakan sekali gus menimbulkan gelak besar dalam kalangan mereka.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat mengadakan kelas berenang dan menyelam sebagai persediaan untuk mengeluarkan pasukan bola sepak kanak-kanak itu dari gua tersebut.
Sepasukan penyelam, perubatan, kaunselor dan tentera laut Thailand sudah berada bersama 12 murid sekolah dan jurulatih mereka untuk menyediakan bekalan ubat dan makanan, sementara pakar menilai keadaan untuk membawa mereka keluar.
Kerajaan Thailand menyifatkan usaha menyelamat itu sukar.
“Arus air amat kuat dan ruang agak sempit. Usaha mengeluarkan mereka memerlukan ramai orang. Kini, kita sedang mengajar kanak-kanak ini berenang dan menyelam,” kata Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan.
Beliau menambah, jika paras air turun dan arus air perlahan, mereka boleh dikeluarkan dengan pantas.
Sementara itu, pasukan penyelamat berikrar tidak akan mengambil risiko bagi mengeluarkan pasukan bola sepak terbabit selepas video terbaharu menunjukkan mereka dalam keadaan bersemangat selepas penemuan kanak-kanak tersebut.
Gabenor wilayah Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn berkata, mereka perlu 100 peratus yakin tiada risiko kepada kanak-kanak semasa operasi membawa keluar mereka.
“Kami akan melayan mereka macam anak kami sendiri,” kata Narongsak menambah, usaha memasang talian telefon semalam gagal namun bekalan makanan dan perubatan akan terus dibawa masuk ke gua berkenaan. – Agensi










