KUALA LUMPUR 8 Julai- Luluh hati, itu yang dapat digambarkan vokalis kumpulan Margasatwa, Akmal Hakim atau lebih dikenali sebagai Kimal bila berkongsi mengenai keadaan anak sulungnya yang berumur tujuh bulan.
Jelas Akmal anak sulungnya yang bernama Puspa itu kini disahkan jantung berlubang (VSD) dan memerlukan pembedahan segera.
Memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM35,000, katanya lagi pembedahan tersebut akan dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Anak saya baru disahkan mempunyai masalah ini. Pada mulanya memang dia selalu demam dan tidak sihat. Hanya Isnin lalu disahkan Puspa mempunyai masalah jantung berlubang dan memerlukan pembedahan segera.
“Kata doktor juga lubang itu agak besar untuk umurnya,” katanya ketika dihubungi.
Sementara Akmal dan kumpulannya kini yang berada di bawah pihak pengurusan Luncai Emas turut menjelaskan ketika ini dia masih berusaha mengumpul wang untuk pembedahan ke atas Puspa.
“Memandangkan saya baru tahu mengenai keadaan anak saya dan memerlukan jumlah wang yang agak besar untuk pembedahan, wang simpanan tidak mencukupi untuk menampung kos tersebut.
“Bagi siapa yang ingin membantu, boleh salurkan ke akaun saya CIMB 7049493386 Mohd Akmal Hakim Mokhtar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










