MOSCOW – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menerima nasib yang sama seperti Lionel Messi apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Dunia 2018 FIFA selepas pasukannya tersingkir di peringkat 16 pasukan terbaik dengan kekalahan 1-2 kepada Uruguay di Stadium Fisht, Sochi, Rusia awal pagi ini.
Ronaldo sebelum ini meledakkan empat gol dalam tiga perlawanan di Rusia bagi membantu pasukannya mara ke pusingan kalah mati.
Namun, Pemain Terbaik Dunia lima kali itu gagal menyerlah ketika Portugal tunduk kepada Uruguay hasil dua jaringan penyerang Edison Cavani pada babak pertama dan babak kedua.
Meskipun Portugal bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan pertahanan Pepe, namun ia masih belum mampu menyelamatkan maruah juara Eropah itu untuk mara ke suku akhir.
Kekalahan Portugal melepasi pusingan kalah mati ini menyaksikan Ronaldo terpaksa pulang awal bersama pesaing utamanya yang juga Pemain Terbaik Dunia lima kali dari Barcelona, Messi selepas Argentina tewas 3-4 kepada Perancis dalam satu lagi pertarungan sebelum itu.
Malah, kempen di Rusia ini mungkin menjadi penyertaan terakhir bintang Real Madrid itu yang telah pun mencapai usia 34 tahun.
Jika benar, ia akan menjadi satu pengakhiran yang pahit buat karier Ronaldo selepas impiannya menjulang trofi Piala Dunia tidak kesampaian biarpun mengecapi pencapaian hebat di memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab (juara Liga Perdana England, juara La Liga, juara Piala Dunia Kelab) dan juara Eropah 2016 bersama Portugal.
Bagi Uruguay pula, kejayaan mara ke suku akhir ini mengatasi pencapaian edisi 2014 di Brazil di mana mereka tersingkir di pusingan sama ekoran kekalahan 1-2 kepada Colombia.
Skuad kendalian Oscar Tabarez ini turun dalam misi memburu trofi ketiga selepas melakukannya pada edisi pertama 1930 dan kali kedua pada 1950.
Dilabel sebagai pasukan ‘underdog’, Uruguay jelas tidak mudah patah semangat apabila menunjukkan prestasi yang agak baik di peringkat kumpulan sebelum mara ke saingan kalah mati.
Penyerang Paris Saint-Germain, Cavani sekali lagi menjadi wira wakil Amerika Selatan itu apabila menanduk masuk gol pertama seawal minit ke-7 sebelum Portugal menyamakan 1-1 di babak kedua hasil tandukan Pepe pada minit ke-55.
Namun, Cavani sekali lagi menceriakan penyokong Uruguay apabila melakukan tendangan lencong yang menarik untuk gol kemenangan pasukannya, sekali gus menjamin tempat ke suku akhir.
Di suku akhir nanti, Uruguay akan berdepan juara 1998, Perancis selepas skuad kendalian Didier Deschamps itu menyingkirkan Argentina di pusingan sama. – K! ONLINE











