Sedia dijatuhkan jika gagal tunai janji - PM - Utusan Malaysia

Sedia dijatuhkan jika gagal tunai janji – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 30 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau bersedia untuk dibawa ke muka pengadilan seandainya ada dakwaan mengaitkan beliau de­ngan kegiatan rasuah.

Perdana Menteri berkata, beliau dan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lain sudah berikrar dan bersumpah tidak akan melakukan sesuatu yang dilarang undang-undang.

“Inilah janji kita, jika ada bukti kami tidak tepati janji, tipu, buatlah laporan termasuk ke atas saya.

“Buatlah laporan jika saya menipu dan tidak amanah de­ngan bukti yang cukup supaya saya dijatuhkan sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad di Kuah dekat sini hari ini.

Katanya, perkara yang sama turut melibatkan semua pemim­pin parti PH yang lain termasuk wakil rakyatnya.

“Perkara sama turut membabitkan wakil rakyat PH. Wakil rakyat kita jika mereka terbabit rasuah, terima duit untuk tipu atau dapatkan kontrak sana sini juga akan di­singkirkan daripada jawatan mereka dan malah sebagai ahli PH.

“Ini kerana hanya dengan cara ini rakyat akan terus bagi soko­ngan. Jika kita lakukan benda (rasuah) maka kita (PH) harus dijatuhkan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan di sini, Dr. Mahathir juga menegaskan bahawa kerajaan PH harus dijatuhkan dalam pilihan raya umum akan datang jika gagal menunaikan janji atau manifesto yang diberikan kepada rakyat.

“Jika kami tidak tunai janji rak­yat boleh buat pengaduan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan PH bagaimanapun mempunyai cara tersendiri untuk me­nunaikan janji-janji berkenaan yang antaranya tidak melibatkan bantuan-bantuan tertentu yang dianggap sebagai sogokan yang tidak dapat membantu rakyat.

“Kami yang dilantik wakil rakyat dan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) akan berikan khid­mat terbaik kepada pengundi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN